Saturday 4 February 2012

Taiyibul Ihsan Fi Tibbil Insan | Bahagian Dua

Dikisahkan bahawa kitab ini dikarang atas kesempatan waktu yang sedikit dan disiapkan dengan segera oleh Tuan Sheikh Wan Ahmad. Manakala dari aspek susunan kitab ini adalah secara pendek-pendek serta mudah untuk dituntut. Menurutnya, kitab ini sangat bersesuaian bagi yang benar-benar berhajat kepada perubatan jenis Melayu.


1. Padahal alam tibb itu daripada sebenar-benar barang yang berhajat kepadanya tiap-tiap manusia.
2. Hingga jahil mereka itu akan barang yang melengkapi ia atasnya daripada beberapa banyak rahsia.
3. Dan serta tiada adapula bagi mereka itu sesuatu daripada kitab padanya sonaah (keahlian) yang boleh diperpegang atasnya.
4. Bahkan ada juga bagi mereka itu beberapa daftar tibb mempunyai kalam yang sedikit tahrirnya (dokumentasi).
5. Tiada suci ia daripada beberapa banyak ubat yang baik lagi elok.


Sheikh Wan Ahmad menegaskan bahawa manusia sememangnya memerlukan ilmu ini (tibb) dan ia bukanlah satu ilmu yang sia-sia. Kitab ini dikarang kerana melihat konteks suasana alam Melayu ketika itu yang mana tidak mengambil berat akan ilmu perubatan, di mana kurangnya sumber ilmu tibb yang boleh dijadikan rujukan, pegangan dan ikutan ketika itu. Ahli di dalam bidang perubatan ketika itu jua amatlah sedikit bilangannya, sekalipun ada, mereka telah bercampur aduk dengan ubat dan kaedah rawatan yang mempunyai unsur khurafat dan jampi-jampi yang pelbagai. Sebagai contoh, dinyatakan oleh Sheikh Wan Ahmad di dalam kitab ini;

''awan anu maha anu aku tahu akan asalmu''

Syeikh juga menukilkan perihal ahli-ahli perubatan pada ketika itu yang bersifat bakhil, ilmu yang ada pada mereka tidak diturunkan kepada orang lain, melainkan dengan payah atau ketika mereka hampir mati sahaja. Dan pengikutnya pula tidaklah membersihkan ajaran tersebut daripada unsur-unsur khurafat yang terdapat di dalamnya. Adapun dari sudut bahan rujukan yang mu'tabar & soheh dalam ilmu ini sangatlah sukar kerana pendokumentasian tentang faedah & khasiat tentang bumi; hutan-hutan dan bukit-bukit amat sedikit sekali dan hampir tiada.


Padahal segala bumi mereka itu dan hutan-hutan dan bukit-bukit mereka itu tempat berladu (berkumpul) dengan segala ubat.


Dan tiada mengetahui akan faedah atau khasiat setengah daripadanya melainkan sedikit daipada mereka itu ...


Maka dengan izin Allah, kitab ini siap dikarang dan adalah diharapkan ia dapat memberi pertolongan walaupun memberi sedikit keuntungan buat mereka yang mempunyai himah yang tinggi (benar-benar berhajat & berkeinginan) terhadap ilmu tibb ini. 


Dan telah kami harap bahawa membuka Allah akan hati seorang yang mempunyai himah yang tinggi maka bersungguh-sungguh ia mencubakan beberapa pohon kayu dan tumbuh-tumbuhan dan lainnya daripada barang yang ada pada bumi Melayu dan memperkasakan pada demikian itu maka disuratkan beberapa faedahnya dan khasiatnya dan pangkat segala tabiatnya dan kaifiyah isti'malnya.


Antara sumber yang dirujuk sewaktu kitab ini dikarang termasuklah dari beberapa buah kitab yang masyhur lagi mu'tabar, merujuk sedikit daripada setengah bangsa Melayu yang dipercayai kata-katanya, dan melalui lidah gurunya yang mana beliau menuntut dan menerima ijazah daripada gurunya, dan melalui ujikaji setelah sah dari sudut penggunaanya.



No comments:

Post a Comment