Saturday 21 January 2012

Taiyibul Ihsan Fi Tibbil Insan | Bahagian Satu

Ini merupakan nama bagi sebuah kitab perubatan Melayu lama serta bertulis tangan oleh cendekiawan Nusantara yang cerdik lagi bijaksana; Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Bin Mustafa, lazimnya dikenali sebagai Sheikh AlFathoni. Tranliterasi Bahasa Melayunya adalah Pembukaan Mata Hati pada Bicara Mengubati.

Terkandung di dalamnya perkara-perkara berkaitan ilmu perubatan, penyakit yang dialami manusia; dalaman dan luaran, tatacara dan kaedah rawatan, nilai ubat-ubatan daripada sumber tumbuh-tumbuhan dan mineral berserta khasiatnya, dan tidak dilupakan di awal muqadimah kitab ini, dibabadkan oleh Sheikh AlFathoni berkenaan falsafah perubatan Islam.

Dan kami sekitar sepuluh anak muda yang hidup di zaman 'generasi yang hilang' atau seringkali disebut sebagai the Lost Generation oleh Br AS selaku pengemudi kumpulan kecil kami, bertatih membaca kitab jawi ini yang tulisannya kadang-kadang kabur, kadang-kadang gugur. Membaca secara perlahan, diselangi dengan perbincangan, diikut-ikut dengan catatan. Moga-moga terhasil daripadanya manfaat buat diri dan negara bangsa, disebas luas kepada ummat semesta. Satu semester berlalu, lapan perjumpaan bertemu. Lima mukasurat dihabisi, empat puluh muka berbaki. 

Muqaddimah pada mengetahukan tibb itu apa dia dan kelebihannya.

Seperti yang diutarakan sebelum ini, pada permulaan kitab lebih bertumpu kepada falsafah perubatan Islam, yang selisih apakala dibandingkan dengan perubatan moden. Disurih daripadanya (kitab ini);

1. Tuhan itu Maha Pemurah, dan manusia seringkali dilimpahkan dengan nikmat dan kesenangan.
2. Manusia ditimpakan bala kerana rahmat dan kelembutanNya jua.
3. Bahawa didatangkan sakit kepada hamba-hambanya supaya insan yang bersifat nasiya (pelupa) itu ingat akan dosanya, lantas meminta ampun dan bertaubat, kembali mengingati penciptaNya. 
4. Setiap penyakit yang ditimpakan keatas seseorang itu adalah kafarah kepada dosanya, digandakan pahalanya, diangkat martabatnya sekiranya dia SABAR dan REDA.
5. Dan apa yang paling penting, Muslim harus optimis kerana Tuhan tidak mengadakan akan penyakit melainkan telah mengada ia akan ubatnya. Ganjaran yang berganda dijanjikan bagi yang tidak berputus asa dan sentiasa berusaha ke arah penyembuhan penyakitnya.


Bagi yang dikurniakan kesihatan dan afiat, maka beruntunglah kita kerana ia merupakan sebesar-besar kurniaan yang wajib disyukuri. Dan bahawa sesungguhnya Tuhan itu Maha Hakim, DIA menghantarkan tiap-tiap sesuatu pada tempatnya.

Dikarang secara bijaksana sebuah syair oleh Syeikh Wan Ahmad di dalam kitab ini;



Tuhan yang mengadakan dan meniadakan.
Dan mempapakan dan memadakan.
Tuhan yang menyakitkan dan menyembuhkan.
Dan mengurangkan dan menambahkan.
Dan melaparkan dan mengenyangkan.
Dan menyusahkan dan menyenangkan.


Syeikh Wan Ahmad menunjukkan cinta kepada Rasulullah s.a.w melalui puji-pujian dan selawat ke atas baginda, ahlul bait dan para sahabat (yang amat sukar kita temui dalam buku-buku perubatan dan sains moden masakini) melalui beberapa perenggan berikutnya.

Di petik lagi;



Dan Rasul yang mengambil pusaka,
  cemerlang matahari ilmu-Nya,
  dan cahaya kawakib hidayat-Nya oleh ulama'
Dan mencibuk daripada laut hikmat-Nya
  yang amat luas oleh hukama'
Dan memungut daripada bunga-bungaan
  kebun tibbnya oleh segala tabib
Dan mengketuskan daripada buah-buahan
  cerdiknya oleh segala labib.

bersambung